Return to site

SEJARAH PENULISAN ILMU HADIS

December 29, 2023

Kaedah ilmu hadis tidak tercipta tanpa sebarang asas. Sebaliknya, ilmu ini wujud hasil daripada saranan al-Quran dan hadis Nabi S.A.W dalam mendidik umat Islam untuk berdisiplin dalam menukilkan berita, sebagaimana firman Allah S.W.T:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن جَآءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإٖ فَتَبَيَّنُوٓاْ أَن تُصِيبُواْ قَوۡمَۢا بِجَهَٰلَةٖ فَتُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَٰدِمِينَ

Maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kalian seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kalian
tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kalian (mengenainya) sehingga menjadikan kalian menyesal atas apa yang telah kalian lakukan.”

SURAH AL-HUJURAT (49) : 6 

Di dalam hadis pula, Nabi S.A.W bersabda:

نَضَّرَاللهُ امْرَأً سَمِعَ مِنَّا شَيْئًا فَبَلَّغَهُ كَمَا سَمِعَ فَرُبَّ مُبَلِّغٍ أَوْعَى مِنْ سَامِعٍ

Maksudnya:

“Semoga Allah S.W.T menyinari seseorang yang mendengar sesuatu daripada kami, kemudian dia menyampaikannya mengikut apa yang dia dengar; bboleh jadi orang yang disampaikan sesuatu hadis itu lebih memahaminya daripada orang yang mendengarnya (secara langsung daripada kami).” 

Dalam riwayat lain, dilaporkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

نَضَّرَ ‌اللهُ‌ امْرَأً سَمِعَ مِنَّا حَدِيثًا فَحَفِظَهُ حَتَّى يُبَلِّغَهُ فَرُبَّ حَامِلِ فِقْهٍ إِلَى مَنْ هُوَ أَفْقَهُ مِنْهُ، وَرُبَّ حَامِلِ فِقْهٍ لَيْسَ بِفَقِيهٍ

Maksudnya:

“Semoga Allah S.W.T menyinari seseorang yang mendengar hadis daripada kami, kemudian dia menjaganya sehingga dia menyampaikan. Berapa rami yang membawa ilmu kepada orang yang lebih faham daripadanya. Dan berapa ramai orang yang membawa ilmu sedang dirinya sendiri tidak memahaminya.”

Daripada nas-nas di atas, terbinalah suatu prinsip dalam menukilkan riwayat, kaedah pemeliharaan riwayat, berhati-hati dan cermat dalam menyampaikan sesuatu maklumat.

Nas-nas itu juga menjelaskan kepada kita betapa pentingnya nilai sanad ketika kita mahu menerima atau menolak sesuatu riwayat.

Al-Imam Muslim di dalam Muqadimah Sahihnya menukilkan kata-kata al-Imam Ibn Sirin yang menyebut:

لَم يَكُونُونَ عَن الإِسنادِ، فَلَمَّا وَقَعَتِ الْفِتْنَةُ قَالُوا: سَمُّوالَنَا رِجَالَكُمْ فَيُنْظَرُ إِلَى أَهْلِ السُّنَّةِ فَيُؤْخَذُ حَدِيثُهُمْ، وَيُنْظَرُ إِلَى أَهْلِ الْبِدَعِ فَلَا يُؤْخَذُ حَدِيثُهُمْ.

Maksudnya:

“Dahulu,para ulama tidak bertanya tentang sanad. Namun apabila terjadinya fitnah, mereka berkata, ‘Sebutkan kepada kami perawi-perawi kalian.’ Kemudian dilihat, jika para perawinya adalah ahlus sunnah, maka diambil hadis mereka. Tetapi jika para perawinya adalah ahlul bid’ah, maka tidak diambil hadis mereka.”

Fitnah yang dimaksudkan oleh al-Imam Ibn Sirin di atas merujuk kepada pembunuhan Khalifah ‘Utsman bin ‘Affan, kerana selepas pembunuhan beliau, umat Islam mula berpecah-belah dan hadis-hadis palsu mula direka terutamanya oleh kelompok Syi’ah semata-mata mahu memenangkan golongan mereka atas nama agama.

Tentang kedudukan ahlul bid’ah pula, terdapat beberapa perbincangan dalam ilmu al-Jarh wa at-Ta’dil mengenai penolakan dan penerimaan riwayat mereka.

Kronologi Perkembangan Ilmu Hadis

Zaman Sahabat 

  1. Penelitian terhadap sanad.
  2. Menggalakkan hafalan hadis.
  3. Berlakunya pengumpulan hadis.
  4. Berlakunya perbincangan hadis.
  5. Bermulanya tradisi rihlah untuk mendapatkan hadis.
  6. Melakukan kritikan terhadap riwayat.

Kurun Kedua

  1. Munculnya ilmu al-Jarh wa at-Ta’dil.
  2. Para ulama mula diberikan perhatian terhadap latar belakang perawi hadisdan sejarah secara teliti. Namun masih dalam bentuk lisan.

Kurun Ketiga

Sudah muncul perbahasan ilmu hadis dalam bentuk penulisan seperti perbahasan tentang ilmu hadis oleh al-Imam asy-Syafi’i di dalam ar-Risalah yang merupakan sebuah kitab fiqh.

Pada zaman ini, lahirnya jaguh-jaguh besar di dalam dunia ilmu hadis dengan pelbagai kerya penulisan berkaitan ilmu hadis seperti al-Asami wa al-Kuna, adh-Dhu`afa’, al-Mudallisin, ath-Thobaqat, al-Wahm wa al-Khotho’ dan beberapa kitab lain berkaitan dengan ilmu hadis secara umum.

Kurun Keempat hingga Keenam

Sebahagian ulama sudah mula memberikan perhatian yang lebih dengan menghasilkan penulisan dan perbincangan mengenai Mustholah Hadis secara berasingan. Antaranya:

  1. Al-Muhaddits al-Fashil Baina ar-Rawi wa al-Wa’i oleh al QadhiMuhammad al-Hasan bin ‘Abdur Rahman bin Khallad al Ramahurmuzi.
  2. Ma'rifatu ‘Ulum al-Hadits oleh Abu Abdillah al-Hakim al-Naysaburi.
  3. Al-Mustakhraj ‘Ala Ma'rifati ‘Ulum al-Hadits oleh Abu Nu’aym Ahmad bin Abdullah al-Asfahani.
  4. Al-Kifayah fi ‘Ilm ar-Riwayah dan al-Jami’ Li Akhlaq ar-Rawi wa Adab as-Sami’ oleh Al-Khathib al-Baghdadi.

Pada zaman ini, sudah ada karya berkaitan ilmu al-Jarh wa at-Ta’dil,definisi Hadis Hasan, Gharib dan lain-lain.

Kurun Ketujuh hingga ke-10

Perbahasan ilmu hadis bukan sahaja menjadi lebih sempurna, malah penggunaan istilah-istilah yang berlaku khilaf sudah mula dibahaskan dengan lebih terperinci.

Antara tokoh yang ada pada zaman ini ialah al-Imam Ibn Solah, al-Imam an-Nawawi, al-Hafiz al-`Iraqi dan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani.

Kurun ke-10 hingga ke-13

Pada tempoh ini bermulanya zaman kelesuan dan ketandusan dalam bidang ilmu hadis. Dikatakan ia bermula pada kurun ke-10 sehingga awal kurun ke-13.

Pada zaman ini kurangnya pembaharuan dan ijtihad baru dalam bidang ilmu hadis. Perhatian lebih banyak ditumpukan dalam bidang-bidang ilmu yang lain berbanding hadis.

Karya-karya yang muncul dalam zaman ini hanya berupa ulasan ringkas, puisi, isu-isu terpilih atau himpunan penulisan lama yang terkenal.

Zaman Kebangkitan

Pada zaman ini, mula timbul kesedaran untuk memelihara hadis kerana berlakunya campur tangan golongan orientalis yang cuba menimbulkan kekeliruan dan penyelewengan terhadap sunnah Nabi S.A.W.

Zaman ini menunjukkan para ulama cuba membawa nafas baru dalam dunia perbahasan ilmu hadis dengan menggunakan pendekatan semasa dan menjawab tuduhan serta tohmahan pihak musuh.