Return to site

PENGENALAN BAGI 'ULUMUL HADIS

December 25, 2023

Dalam perbahasan hadis, terdapat lebih daripada satu ilmu. Perkara asas yang perlu dipelajari oleh pelajar hadis dan masyarakat adalah mustholah hadis.

Mustholah hadis adalah ilmu berkaitan dengan memahami istilah-istilah hadis yang digunakan oleh sarjana hadis untuk membezakan antara sahih dan dha’ifnya sesebuah hadis dan untuk menerangkan punca serta kedudukan hadis tersebut.

Apabila istilah tidak diketahui, agak sukar untuk menelusuri perbahasan hadis yang lain. Kerana itulah cabang ulumul hadis yang paling kerap didedahkan kepada masyarakat adalah mengenai istilah kerana ia termasuk dalam perkara yang paling penting diketahui oleh masyarakat.

Secara umumnya, perbahasan ulumul hadis meliputi dua perbahasan utama iaitu Riwayah dan Dirayah.

  • Riwayah ialah kajian mengenai sanad, teks hadis, ketepatan lafaz, makna dan kajian terhadap nama perawi hadis.
  • Dirayah pula kajian dan penelitian terhadap hukum penerimaan hadis, keadaan perawi dan kefahaman terhadap matan hadis.

Dari dua pembahagian ini, munculnya sejumlah perbahasan ilmu hadis yang pelbagai meliputi perbahasan sanad dan juga perbahasan matan atau teks hadis.

Perbahasan Riwayah

1. Ilmu Mukhtalif Hadis

Ilmu ini membahaskan tentang percanggahan secara zahir yang berlaku antara hadis. Pada dasarnya mustahil sesuatu hadisakan bercanggah antara satu sama lain kerana ia adalah wahyu agama.

Maka apabila tampak percanggah pada zahir hadis,ia perlu kepada diselesaikan dan ilmu ini adalah satu wasilah untuk menyelesaikan percanggahan tersebut.

2. Ilmu Nasikh Dan Masukh

Seperti al-Quran, hadis juga mempunyai hukum yang dimansuhkan dan ada yang menasakhkannya (memansuhkan hukum terdahulu).

Perbahasan dalam ilmu ini bertujuan untuk menentukan mana satukah hukum yang telah dibatalkan dan mana satukah pula merupakan hukum yang baharu. Ia dapat mengelakkan kita daripada tersilap dalam beramal dengan hukum yang telah dibatalkan.

3. Ilmu Gharib al-Hadis

lmu ini membincangkan ungkapan yang sukar difahami di dalam matan hadis. Maka lafaz-lafaz ini memerlukan keterangan dan penjelasan supaya hadis Rasulullah S.A.W dapat difahami.

4. Ilmu Asbab Wurud al-Hadis

Ilmu ini membincangkan latar belakang dan punca sesebuah hadis itu diucapkan oleh Rasulullah S.A.W. Perbahasan ini sangat penting dalam memahami konteks hadis supaya apa yang menjadi kehendak syarak dapat dipenuhi sebaik mungkin.

Jika tidak, mungkin akan berlakunya salah faham yang begitu ketara dalam beramal dengan hadis.

Perbahasan Dirayah

1. Ilmu Mustholah al-Hadis 

Ilmu ini membincangkan kaedah-kaedah atau prinsip-prinsip untuk mengenal pasti keadaan sanad dan matan dari aspek penerimaan dan penolakannya.vIa dapat membantu dalam membezakan antara Hadis Sahih dan tidak sahih.

2. Ilmu Ilal al-Hadis

Ilmu ini membahaskan sebab-sebab tersembuyi yang menjejaskan kesahihan hadis. Ilmu ini sangat sulit kerana terdapat hadis tampak seperti tiada masalah pada zahirnya, namun apabila diteliti ia mempunyai sebab-sebab yang menjejaskan kebsahan hadis tersebut.

Penguasaan terhadap ilmu ini berhajat kepada kepakaran yang tinggi dan melaziminya dalam jangka masa yang sangat lama. Hanya segelintir tokoh sahaja yang tergolong dalam bidang ini; kebanyakannya adalah jaguh-jaguh utama bidang hadis.

3. Ilmu Rijal al-Hadis 

Ilmu ar-Rijal atau disebut juga sebagai Ilmu ar-Ruwat adalah perbahasan ilmu yang membincangkan tentang keadaan perawi. Di bawah ilmu ini terdapat banyak lagi perbahasan mengenainya, antaranya:

I. Marifah as-Sahabah yang menjelaskan tentang para sahabat Rasulullah S.A.W.

II. Al-Jarh wa at-Ta’dil yang membahaskan tentang kritikan dan pujian terhadap perawi.

III. Tarikh ar-Rijal yang membincangkan sejarah hidup perawi dan peristiwa yang pernah berlaku.

IV. Marifah al-Asma’ wa al-Kuna’wa al-Alqab yang menjelaskan tentang nama, gelaran dan nisbah yang disandarkan kepada perawi.