Return to site

KEDUDUKAN HADIS DALAM ISLAM

December 29, 2023

Hadis berperanan sebagai wahyu kedua selepas al-Quran yang diturunkan daripada Allah S.W.T kepada Nabi S.A.W. Ia merupakan salah sumber hukum utama dalam semua lapangan ilmu Agama Islam.

Namun, berbeza dengan al-Quran, perbincangan mengenai keabsahan sesuatu sandaran itu secara pastinya daripada Nabi S.A.W hanya dikhususkan kepada hadis.

Hal ini kerana penukilan al-Quran kepada umat Islam sehingga kini adalah nukilan yang bertaraf mutawatir [1] secara lafaz dan makna, kerana al-Quran dinukilkan daripada semua golongan sama ada ulama mahupun orang biasa.

[1] Dari segi istilah ilmu hadis, mutawatir bermaksud sesuatu yang diriwayatkan oleh sekumpulan perawi yang ramai pada setiap thobaqat (peringkat) sanadnya sehingga mencapai tahap mustahil secara adatnya untuk mereka semua bersepakat untuk berdusta dalam meriwayat hal tersebut.

Al-Quran bukan sahaja telah mula dihafal sejak hari pertama wahyu diturunkan, malah mushaf al-Quran yang dibukukan secara rasmi pada zaman Khalifah ‘Utsman bin ‘Affan r.a. turut disebarkan ke seluruh dunia Islam, lalu ia disalin semula dan dihafal oleh Kaum Muslimin.

Maka, al-Quran tidak memerlukan sebarang kajian untuk menentukkan keabsahannya.

Hal ini berbeza dengan hadis-hadis Nabi s.a.w. kerana pembukuan hadis secara rasminya baru sahaja bermula pada zaman pemerintahan Khalifah ‘Umar bin ‘Abdul Aziz setelah baginda memerintahkan Abu Bakar Muhammad bin Amru bin Hazm untuk menulis hadis-hadis daripada Umarah bin Abdur Rahman dan al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar. [2]

[2] Ini hanyalah pembukuan hadis secara rasmi atas arahan pemerintah. Adapun pembukuan secara tidak rasmi, ia telah mula dilakukan sejak zaman Nabi s.a.w.lagi oleh sebahagian sahabat.

Disebabkan pembukuan hadis Nabi S.A.W bermula agak lewat berbanding pembukuan al-Quran, maka sudah pasti periwayatan hadis lebih terdedah dengan kebarangkalian benar, silap, bahkan palsu dek campur tangan musuh-musuh Islam dan para penglipurlara.