Return to site

HADIS vs SUNNAH

December 29, 2023

Sebahagian ulama tidak membezakan antara hadis dengan sunnah. Pada mereka, sunnah bermaksud hadis dan hadis sama ertinya dengan sunnah.

Tetapi, ada juga yang mengkhususkan sunnah untuk merujuk kepada perbuatan Nabi S.A.W. sahaja.

Sebahagian lagi ulama memandang sunnah pada aspek kegunaannya di sisi ahli fiqh dan usul untuk merumus hukum agama yang diambil daripada hadis-hadis Nabi S.A.W.

Daripadanya muncullah hukum-hakam beragama sama ada wajib, sunat dan harus berdasarkan prinsip dan kaedah yang mereka gariskan.

Dari sudut ini, hadis lebih umum daripada sunnah iaitu apa yang disandarkan. Manakala sunnah merujuk kepada apa yang menjadi hukum atas setiap individu.

Dengan kata lain, sunnah merujuk kepada apa-apa yang menjadi tuntutan kepada manusia untuk dilakukan sama ada wajib, sunat dan harus. Demikian juga sunnah merujuk kepada apa yang ditegah daripada melakukannya sama ada makruh atau haram.

Hal ini kerana bukan semua hadis boleh diamalkan seperti hadis yang telah mansukh (telah dimansuhkan hukumnya) atau yang khusus untuk Nabi S.A.W sahaja seperti mempunyai isteri lebih daripada empat orang. Perkara-perkara ini tidak disuruh dalam agama malah ia hanya dibenarkanuntuk Nabi S.A.W sahaja.

Kesimpulannya, tidak semua hadis menjadi sunnah yang boleh diamalkan, tetapi asas kepada sunnah itu berasal daripada hadis Nabi S.A.W. Hal ini juga menjadi salah satu sebab kenapa para ulama mujtahid berbeza pendapat tentang sesuatu hukum meskipun mereka mungkin bersepakat bahawa hadis yang dijadikan sandaran hukum itu bertaraf sahih.