Return to site

BIOGRAFI AL-IMAM MUSLIM

August 27, 2024

NASAB & KELAHIRAN

Nama lengkap al-Imam Muslim ialah Abu al-Hasan Muslim bin Hajjaj bin Muslim bin Warad bin Kausyaz Al-Qusyairi An-Naisaburi.

Al-Qusyairi adalah nisbah terhadap nasab (silsilah keturunan), manakala an-Naisaburi pula nisbah kepada tempat kelahiran beliau iaitu di Kota Naisabur, yang dahulunya menjadi salah satu wilayah Parsi, dan sekarang terletak di dalam Negara Iran.

Ahli sejarah Islam berbeza pendapat tentang tarikh kelahiran dan kewafatan al-Imam Muslim. Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani di dalam Taqrib at-Tahzib (529), al-Imam Ibnu Katsir di dalam al-Bidayah Wa an-Nihayah (3511/34), al-Hafiz al-Khazraji di dalam Khulashoh Tahzib al-Kamal menyatakan bahawa al-Imam Muslim dilahirkan pada tahun 204 H dan wafat pada tahun 261 H.

Namun, pendapat yang paling kuat adalah beliau dilahirkan pada tahun 206 H dan wafat pada tahun 261 H di Naisbur. Maka, beliau wafat pada umur 55 tahun.

Hal ini sebagaimana dikatakan oleh al-Imam al-Hakim An-Naisaburi di dalam kitab Ulama al-Amshar, yang turut dipersetujui oleh al-Imam an-Nawawi di dalam Syarah Sahih Muslim (1231/1).

PERJALANAN IMAM MUSLIM MEMPELAJARI HADIS

Al-Imam Muslim membesar sebagai seorang remaja yang gigih mempelajari agama. Ketika usianya masih sangat muda, beliau sudah pun menekuni hadis.

Di dalam kitab Siyar A’lam an-Nubala’, al-Imam az-Zahabi, menyatakan bahawa al-Imam Muslim mula mempelajari hadis sejak tahun 218 H seawal usia 12 tahun.

Selepas itu, beliau mula merantau ke beberapa buah negara dalam usaha menuntut ilmu hadis, bermula dari Iraq, kemudian ke Hijjaz, Syam, Mesir dan negara-negara lain.

Di dalam Tahzib at-Tahzib, diceritakan bahawa al-Imam Muslim paling banyak mendapat ilmu tentang hadis daripada 10 orang guru iaitu:

  1. Abu Bakar bin Abi Syaibah - beliau mempelajari 1,540 buah hadis daripadanya;
  2. Abu Khaitsamah Zuhair bin Harab - beliau mempelajari 1,281 buah hadis daripadanya;
  3. Muhammad Ibn al-Mutsanna yang terkenal dengan panggilan az-Zaman - beliau mempelajari 772 buah hadis daripadanya;
  4. Qutaibah bin Sa'id - beliau mempelajari 668 buah hadis daripadanya;
  5. Muhammad bin ‘Abdullah bin Numair - beliau mempelajari 573 buah hadis daripadanya;
  6. Abu Kuraib Muhammad Ibn al-'Ila - beliau mempelajari 556 buah hadis daripadanya;
  7. Muhammad bin Basyhar al-Muqallab yang digelar Bundaar - beliau mempelajari 460 buah hadis daripadanya;
  8. Muhammad bin Rafi’ an-Naisaburi - beliau mempelajari 362 buah hadis daripadanya;
  9. Muhammad bin Hatim al-Muqallab yang digelaras-Samin - beliau mempelajari 300 buah hadis daripadanya; dan
  10. 'Ali bin Hajar as-Sa'di - beliau mempelajari188 buah hadis daripadanya.

Sembilan daripada sepuluh guru al-Imam Muslim diatas adalah guru hadis kepada al-Imam al-Bukhari kecuali Muhammad bin Hatim.

Inilah salah satu sebab kenapa al-Imam Muslim tidak meriwayatkan hadis daripada al-Imam al-Bukhari di dalam kitab Sahih Muslim, meskipun beliau turut menuntut ilmu hadis daripada al-Imam al-Bukhari.

Tujuannya adalah untuk memendekkan sanad, kerana jika dimasukkan sekali dengan nama al-Imam al-Bukhari, maka sanad hadis menjadi bertambah panjang.

Meskipun demikian, al-Imam al-Bukhari tetap menjadi salah seorang guru yang paling berpengaruh terhadap al-Imam Muslim khususnya yang berkaitan dengan metodologi untuk memeriksa kesahihan hadis.

Hal ini sebagaimana yang diungkapkan oleh al-Hafiz Abu Bakar al-Khatib al-Baghdadi di dalam kitabnya, Tarikh Baghdad:

"Muslim telah mengikut jejak langkah al-Bukhari, mengembangkan ilmunya dan mengikut metodologinya. Ketika al-Bukhari datang ke Naisabur pada akhir hayatnya, al-Imam Muslim belajar dengan lebih serius dengannya dan sentiasa mendampinginya."

Keakraban hubungan dua orang jaguh ilmu hadis turutjelaskan oleh al-Hafiz Ibn Hajar di dalam Syarh Nukhbat al-Fikr, katanya:

“Para ulama bersepakat bahawa al-Bukhari lebih utama daripada Muslim, dan al-Bukhari lebih dikenali kemampuannya dalam pembelaan hadis.

Kerana Muslim adalah murid dan hasil didikan al-Bukhari, Muslim banyak mengambil ilmu daripada al-Bukhari dan mengikut jejak langkahnya, sehingga ad-Daruquthni berkata, ‘Seandainya tidak ada al-Bukhari, nescaya tidak ada Muslim.’”

MURID-MURID AL-IMAM MUSLIM

Ramai ulama besar yang menjadi murid kepada al-ImamMuslim dalam ilmu hadis, sebagaimana yang diceritakan di dalam kitab Tahzibut Tahzib. Antaranya:

  • Abu Hatim ar-Razi;
  • Abu al-Fadhl Ahmad bin Salamah;
  • Ibrahim bin Abu Thalib;
  • Abu 'Amr al-Khoffaf;
  • Husain bin Muhammad al-Qabani;
  • Abu 'Amr Ahmad Ibn al-Mubarak al-Mustamli;
  • Al-Hafiz Salih bin Muhammad;
  • 'Ali bin Hasan al-Hilali;
  • Muhammad bin Abdil Wahab al-Faraa';
  • Ali Ibn al-Husain Ibn al-Junaid;
  • Ibn Khuzaimah;

dan ramai lagi.

Selain itu, ada juga ulama yang memasukkan al-Imam Abu 'Isa Muhammad at-Tirmidzi dalam senarai murid al-Imam Muslim, kerana terdapat sebuah hadis dalam sunan at-Tirmidzi yang beliau riwayatkan daripada al-Imam Muslim.

Di dalam Tuhfat al-Ahwazi ada dinukilkan penjelasan daripada al-Hafiz al-‘Iraqi yang berkata bahawa al-Imam at-Tirmizi hanya meriwayatkan sebuah hadis daripada al-Imam Muslim di dalam Jami’nya kerana mereka berdua mempunyai guru yang sama sebahagian besarnya.

MATA PENCARIAN IMAM MUSLIM

Al-Imam Muslim adalah seorang peniaga pakaian yang berjaya yang terkenal sebagai seorang yang dermawan. Selain itu, beliau juga memiliki sawah-sawah di Daerah Ustu yang menjadi sumber ekonominya yang kedua.

BENTUK FIZIKAL AL-IMAM MUSLIM

Al-Imam Muslim berkulit putih dan mempunyai rupa paras yang tampan. Di dalam Siyar 'Alam an-Nubala (56612) terdapat sebuah riwayat daripada Abu Abdir Rahman as-Salami, katanya:

“Aku melihat seorang syaikh yang tampan wajahnya. Beliau memakai rida’ yang bagus. Beliau memakai serban yang dijulurkan di kedua-dua belah bahunya. Lalu ada orang berkata, 'Ini Muslim.’

Juga diceritakan di dalam Siyar A’lam an-Nubala’ (57012), bahawa al-Imam al-Hakim mendengar ayahnya berkata:

“Aku pernah melihat Muslim bin al-Hajjaj bercakap-cakap di Khan Mahmasy. Beliau memiliki perwatakkan yang sempurna dan kepalanya putih. Janggutnya memanjang ke bawah di sisi serbannya yang terjulur di kedua-dua belah bahunya.”

MAZHAB FIQH AL-IMAM MUSLIM

Sama seperti al-Imam al-Bukhari, al-Imam Muslim juga tidak terikat dengan mana-mana mazhab fiqh. Sebaliknya, beliau berijtihad, sebagaimana yang dapat dilihat melalui susunan bab di dalam kitab Sahihnya.

Hanyasanya, kadang-kala beliau beliau turut mengambil pandangan ulama Ahlul Hadis seperti as-Syafi’i, Ahmad, Ishaq, Abu Ubaid dan yang setaraf dengan mereka, sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Imam Ibn Taimiyyah di dalam Majmu’ al-Fatawa (3920).

PUJIAN PARA ULAMA

Kerana tingginya kedudukan al-Imam Muslim, ramai ulama yang memuji keilmuwan beliau, baik yang mereka yang hidup sezaman dengannya, mahupun mereka yang datang kemudian.

Di dalam Tarikh Dimasyq (8958), diceritakan bahawa Muhammad bin Basyar, salah seorang guru al-Imam Muslim berkata:

“Ada empat orang yang hafalan hadisnya paling hebat di dalam dunia iaitu Abu Zur'ah dari Ray, Muslim bin al-Hajjaj dari Naisabur, ‘Abdullah bin Abdur Rahman ad-Darimi dari Samarkand, dan Muhammad bin Ismail dari Bukhara.”

Di dalam Tarikh Baghdad (10213/103), Ahmad bin Salamah berkata:

“Aku melihat Abu Zur'ah dan Abu Hatim ar-Razi mengutamakan pendapat Muslim dalam mengenali kesahihan hadis dibandingkan para Syaikh lain ketika hayat mereka.”

Diceritakan di dalam Tarikh Dimasyq (8958), Ishaq bin Mansur al-Kausaz berkata kepada al-Imam Muslim:

“Kami tidak kehilangan kebaikan selagi mana Allah masih menghidupkan engkau dalam kalangan kaum Muslimin.”

Di dalam Tazkirat al-Huffaz, az-Zahabi turut memuji al-Imam Muslim dengan sebutan:

"Muslim bin al-Hajjaj, al-Imam, al-Hafiz lagi Hujjat al-Islam."

Al-Imam an-Nawawi pula berkata di dalam Syarh Sahih Muslim:

“Para ulama bersepakat tentang keagungan al-Imam Muslim, keimanannya, peranan besarnya dalam ilmu hadis, kebijaksanaanya dalam menyusun kitab ini, keutamaannya dan kekuatan hujahnya.”

KEWAFATAN AL-IMAM MUSLIM

Diceritakan oleh Ibnu Solah di dalam kitab Siyanat Muslim (1216) bahawa al-Imam Muslim wafat disebabkan keletihan fikiran dalam menelaah ilmu. Hal ini sebagaimana yang diceritakan oleh Ahmad bin Salamah, katanya:

"Abu al-Hussain Muslim ketika itu mengadakan majlis untuk mengulang hafalan hadis. Lalu disebutkan kepadanya sebuah hadis yang beliau tidak ketahui.

Maka beliau pun pergi menuju rumahnya dan terus menyalakan lampu. Beliau berkata kepada orang yang berada di dalam rumahnya, ‘Jangan biarkan orang lain masuk ke dalam rumah ini.’

Kemudian ada yang bertanya kepadanya, ‘Mahukah engkau kami hadiahkan sebakul kurma?' Beliau menjawab: 'Ya, berikan kurma-kurma itu kepadaku.' Kurma pun diberikan kepadanya.

Ketika itu beliau sedang mencari sebuah hadis. Beliau pun mengambil kurma satu per satu lalu mengunyahnya. Pagi pun datang dan kurma telah habis. Akhirnya beliau menemui hadis yang dicarinya itu."

Al-Hakim berkata bahawa terdapat tambahan tsiqah pada riwayat ini yang menyebut:

"Sejak itu, al-Imam Muslim sakit, kemudian wafat."

Riwayat ini terdapat di dalam kitab Tarikh Baghdad (10313), Tarikh Dimasyq (9458), dan Tahzibul Kamal (50627).

Maka, wafatlah al-Imam Muslim pada Hari Ahad, tanggal4 Rajab 261H, dan jenazahnya dikebumikan pada keesokan harinya.

Disunting dari Sahih al-Lu'lu’ Wa al-Marjan, karya Muhammad Fuad Abdul Baqi'.