Return to site

BIOGRAFI AL-IMAM AT-TIRMIZI

September 24, 2024

PERKEMBANGANNYA

Al-Imam al-Hafiz Abu ‘Isa Muhammad bin ‘Isa bin Saurah bin Musa bin ad-Dahhak as-Sulami at-Tirmizi lahir pada tahun 210H di Kota Tirmiz.

Datuk kepada al-Imam at-Tirmizi iaitu Saurah berasal daripada Mirwaz, sebelum berpindah ke Tirmiz dan menetap di sana. Di kota inilah cucunya yang bernama Muhammad bin ‘Isa dilahirkan.

Sejak kecil, al-Imam at-Tirmizi sudah menunjukkan minatnya terhadap pengajian ilmu dan pencarian hadis. Minat yang mendalam inilah yang mendorongnya untuk mengembara ke Khurasan, ‘Iraq dan dua tanah suci (Makkah dan Madinah).

Dalam pengembaraannya itu, beliau mengunjungi para ulama’ besar untuk mendengar hadis daripada mereka, sebelum menghafal dan mencatatnya dengan cermat.

GURU-GURUNYA

Al-Imam at-Tirmizi belajar dan meriwayatkan hadis daripada ulama’ terkenal, antaranya al-Imam al-Bukhari yang mana beliau mempelajari hadis dan ilmu fiqh daripadanya.

Al-Imam at-Tirmizi juga menuntut ilmu dengan al-Imam Muslim, al-Imam Abu Daud dan sebahagian daripada guru kepada guru-gurunya.

Selain itu, al-Imam at-Tirmizi juga belajar daripada Qutaibah, Ishaq bin Musa, Mahmud bin Gailan, Sa’id bin ‘Abdur Rahman, Muhammad bin Basyar, ‘Ali bin Hajar, Ahmad bin Muni’, Muhammad bin al-Musanna dan ramai lagi.

MURID-MURIDNYA

Hadis-hadis dan ilmu yang diajarkannya turut diwarisi oleh ramai ulama’, seperti Makhul bin al-Fadhl, Muhammad bin Mahmud ‘Anbar,Hammad bin Syakir, al-Haisam bin Kulaib asy-Syasyi, Ahmad bin Yusuf an-Nasafi, dan Abu al-‘Abbas Muhammad bin Mahbud al-Mahbubi, yang meriwayatkan Jami’ at-Tirmizi daripadanya.

KEKUATAN HAFALANNYA

Al-Imam at-Tirmizi diperakui oleh para ulama’ akan kepakarannya dalam hadis, kesolehan dan ketaqwaannya. Beliau juga terkenal sebagai seorang yang dipercayai, amanah dan sangat teliti. Salah satu bukti kekuatan dan kepantasan hafalannya adalah sebuah kisah yang dikemukakan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar di dalam Tahzib at-Tahzib, dari Ahmad bin ‘Abdullah bin Abu Daud, katanya:

سمعت أبا عيسى الترمذي يقول: كنت في طريق مكة وكنت قد كتبت جزئين من أحاديث شيخ، فمر بنا ذلك الشيخ فسألت عنه، فقالوا: فلان، فرحت إليه، وأنا أظن أن الجزئين معي، وإنما حملت معي في محملي جزئين غيرهما شبههما، فلما ظفرت سألته السماع، فأجاب، وأخذ يقرأ من حفظه ثم لمح، فرأى البياض في يدي، فقال: أما تستحي مني؟ فقصصت عليه القصة، وقلت له: إني أحفظه كله، فقال: اقرأ، فقرأته عليه على الولاء، فقال: هل استظهرت قبل أن تجيء إلي، قلت: لا، ثم قلت له: حدثني بغيره، فقرأ علي أربعين حديثا من غرائب حديثه، ثم قال: هات، فقرأت عليه من أوله إلى آخره، فقال: ما رأيت مثلك

Maksudnya:

Aku telah mendengar Abu ‘Isa at-Tirmizi berkata, “Pernah pada suatu hari dalam perjalanan menuju ke Makkah, dan ketika itu aku telah menulis dua jilid buku berisi hadis-hadis yang berasal dari seorang guru. Kebetulan, guru tersebut melewati kami. Maka, aku pun bertanya (kepada orang di situ) tentangnya, dan mereka berkata bahawa fulan adalah guru yang saya maksudkan.

Maka, aku pergi kepadanya dalam keadaan aku yang menyangka yang dua jilid kitab itu ada bersama-sama denganku. Rupa-rupanya yang aku bawa itu bukanlah dua jilid kitab tersebut, tetapi dua jilid kitab lain yang mirip dengannya.

Setelah aku bertemu dengannya, aku meminta kepadanya untuk mendengar hadis-hadis daripadanya, dan beliau mengabulkan permohonanku itu. Lalu, beliau membacakan hadis yang dihafalnya. Kemudian, beliau mengerling (ke arah kitabku) sehingga beliau terlihat kertas yang ku pegang itu masih putih bersih (tanpa sebarang tulisan).

Beliau lantas berkata, ‘Tidakkah engkau malu kepadaku?'

Maka aku pun menceritakan kejadian sebenar yang berlaku dan aku berkata kepadanya, ‘Saya telah menghafal semua hadis yang tuan sampaikan tadi.’ Beliau berkata, ‘Cuba engkau bacakannya.’

Lalu aku pun membacakan seluruhnya dengan lancar. Beliau bertanya lagi, ‘Adakah engkau telah engkau menghafal semua hadis itu sebelum datang kepadaku?’ Aku menjawab, ‘Tidak.’

Kemudian aku meminta agar beliau meriwayatkan hadis-hadis yang lain pula. Beliau pun membacakan kepadaku 40 buah hadis yang tergolong hadis-hadis yang gharib (“rare”).

Lalu, beliau berkata, ‘Cuba kau ulang apa yang telah aku bacakan tadi.’ Maka, aku membacakannya (hadis-hadis tersebut) dari yang pertama sehingga selesai.

Beliau pun berkomentar, ‘Aku belum pernah melihat orang seperti engkau.’

PANDANGAN PARA ‘ULAMA

Telah ramai ‘ulama besar yang memuji serta mengakui kemuliaan dan keilmuan al-Imam at-Tirmizi.

Antaranya, al-Hafiz Abu Hatim Muhammad Ibn Hibban telah memasukkan nama al-Imam at-Tirmizi dalam kalangan perawi bertaraf “Tsiqah” dan berkata:

كان أبو عيسى ممن جمع وصنف وحفظ وذاكر

Maksudnya:

“Abu ‘Isa (at-Tirmizi) termasuk dalam kalangan orang yang mengumpulkan hadis, menyusun kitab, menghafal hadis dan berdiskusi (tentang hadis dengan para ‘ulama.).”

Abu Sa’d al-Idirisi berkata:

كان أبو عيسى يضرب به المثل في الحفظ

Maksudnya:

“Abu ‘Isa (at-Tirmizi) terkenal dengan ingatannya yang kuat.”

Al-Imam al-Hakim pula berkata:

سمعت عمر بن علك يقول: مات البخاري فلم يخلف بخراسان مثل أبي عيسى في العلم والحفظ والورع والزهد. بكى حتى عمي وبقي ضريرا سنين.

Maksudnya:

“Aku telah mendengar ‘Umar bin ‘Allak berkata, ‘Bukhari telah meninggal dunia, dan tidak ada yang menggantikannya di Khurasan seperti Abu ‘Isa (at-Tirmizi) dalam (keluasan) ilmu, (kekuatan) hafalan, ketaqwaan dan sifat zuhud. Beliau selalu menangis sehingga menjadi buta, dan tetap beliau buta selama bertahun-tahun (sehingga beliau meninggal dunia)."

FIQH DAN IJTIHADNYA

Selain terkenal sebagai seorang ‘ulama hadis yang menguasai seluruh cabang ilmunya, beliau juga masyhur sebagai pakar fiqh yang berpandangan luas.

Hal ini dapat dilihat melalui penulisannya di dalam Jami’ at-Tirmizi yang mana beliau akan menukilkan pandangan para ‘ulama dari pelbagai mazhab terhadap hadis-hadis yang beliau riwayatkan di dalamnya.

KHAZANAH ILMUNYA

Al-Imam at-Tirmizi banyak menulis kitab, antaranya al-Jami’ at-Tirmizi (yang juga masyhur dengan sebutan Sunan at-Tirmizi), al-‘Ilal, at-Tarikh, az-Zuhd dan al-Asma’ wa al-Kuna.

Dalam sekalian banyak kitab ini, tentu sahaja Jami’ at-Tirmizi menjadi kitab terbesar dan paling banyak manfaatnya kepada umat sehingga ia dimasukkan dalam salah satu Kutab as-Sittah (Enam Kitab Teras Hadis).

Al-Imam at-Tirmizi berkata:

صنفت هذا الكتاب وعرضته على علماء الحجاز والعراق وخراسان فرضوا به ومن كان هذا الكتاب يعني الجامع في بيته فكأنما في بيته نبي
يتكلم.

Maksudnya:

“Setelah selesai menyusun kitab ini, aku bentangkan ia kepada para ‘ulama Hijaz, Iraq dan Khurasan, dan mereka semuanya meredhainya. Dan barangsiapa yang memiliki kitab ini iaitu al-Jami’ ini di dalam rumahnya, seolah-olah ada Nabi yang sedang berbicara di dalam rumahnya.”

Kata beliau lagi:

ما أخرجت في كتابي هذا إلا حديثا قد عمل به بعض الفقهاء سوى حديث فإن شرب في الرابعة فاقتلوه وسوى حديث جمع بين الظهر والعصر بالمدينة من غير خوف ولا سفر

Maksudnya:

“Tidaklah aku tulis di dalam kitabku ini melainkan hadis yang telah diamalkan oleh sebahagian fuqaha’, melainkan hadis, ‘Jika seseorang itu minum (khamar) pada kali keempat, maka bunuhlah dia,’ dan hadis, ‘Baginda menjamakkan solat Zohor dan Asar di Madinah bukan kerana takut mahupun kerana bermusafir.’”

Hadis yang memerintahkan supaya membunuh peminum khamar pada kali keempat telah dimansuhkan hukumnya dan hal ini diperakui secara ijmak.

Adapun hadis tentang solat jamak di atas, para ‘ulama berbeda pendapat dalam meninggalkannya. Sebahagian ‘ulama seperti Ibn Sirin dan Ibn Munzir berpendapat bahawa diharuskan untuk menjamakkan solat di rumah jika adanya kesempitan tertentu dengan syarat ia tidak dijadikan kebiasaan.

Ulama’ Mazhab Hanafi pula berpendapat yang hadis ini sebenarnya menerangkan tentang perbuatan Nabi s.a.w. melewatkan Solat Zohor dan menyegerakan Solat Asar sehingga ia kelihatan seperti menjamakkan solat. Wallahu a’lam.

Ada sebahagian ‘ulama yang menamakan Jami’ at-Tirmizi sebagai Sahih at-Tirmizi, tetapi penamaan ini tidak tepat dan gopoh kerana jelas di dalamnya bukan sahaja mengandungi hadis-hadis sahih dan hasan, tetapi al-Imam at-Tirmizi turut memuatkan hadis-hadis dha’if terutamanya dalam bab fadha’il a’mal.

Dan status semua hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam at-Tirmizi di dalam kitab ini turut diterangkan secara ringkas olehnya, baik hadis itu sahih, hasan, mahupun dha’if.

KEWAFATANNYA

Sebagaimana yang disebutkan oleh al-Imam al-Hakim di atas, al-Imam at-Tirmizi adalah seorang yang sangat lembut jiwanya sehingga beliau banyak menangis.

Dikatakan yang hal itulah yang akhirnya menyebabkan beliau menjadi buta selama beberapa tahun, sehinggalah akhirnya beliau wafat di tanah airnya, Kota Tirmiz, pada tanggal 13 Rejab, tahun 279 H pada usia 69 tahun.