Return to site

BIOGRAFI AL-IMAM AN-NASA'I

Syahid Di Tangan Pentaksub

September 27, 2024

LATAR BELAKANG

Nama penuh al-Imam an-Nasa’i ialah Abu ‘Abdur Rahman Ahmad bin ‘Ali bin Syu’aib ‘Ali bin Sinan bin Bahr al-Khurasani al-Qadhi.

Beliau dilahirkan pada tahun 215H di sebuah tempat bernama Nasa’ yang terletak di dalam Negeri Khurasan. Sebahagian 'ulama berpendapat yang beliau dilahirkan pada tahun 214H.

KEMBARA ILMU

Al-Imam an-Nasa’i lahir dan membesar di Nasa’, sebuah kota di Khurasan yang banyak melahirkan ulama’ dan tokoh-tokoh besar. Di madrasah negeri kelahirannya itu, beliau menghafal al-Qur’an dan menerima pelajaran tentang ilmu-ilmu agama yang asas.

Apabila usianya baru meningkat remaja, al-Imam an-Nasa’i mula mengembara untuk mendapatkan hadis. Hasilnya, sebelum mencecah usia 15 tahun, beliau telah mengembara ke Hijaz, Iraq, Syam, Mesir dan Jazirah.

Beliau mempelajari hadis daripada para ulama’ di negeri-negeri tersebut sehingga menjadi seorang yang terkemuka dalam bidang hadis dan mempunyai sanad yang ”‘ali” (pendek sanadnya) dan masyhur dalam periwayatan hadis.

SIFAT FIZIKAL & PERIBADI

Al-Imam an-Nasa’i berwajah tampan. Kulitnya berwarna kemerah-merahan dan beliau suka mengenakan pakaian bergaris buatan Yaman.

Sepanjang hayatnya, beliau terkenal sebagai seorang yang kuat beribadah, baik pada waktu malam mahupun siang hari, dan selalu mengerjakan ibadat haji dan berjihad.

Direkodkan bahawa al-Imam an-Nasa’i sering keluar berjihad bersama-sama dengan gabenor Mesir, sehingga kesatrian dan keberaniannya diperakui oleh segenap prajurit Islam yang lain.

Sebagai seorang ahlul hadis, beliau juga sangat konsisten berpegang teguh dengan sunnah dalam menangani masalah penebusan kaum Muslimin yang tertangkap lawan.

Meskipun demikian, al-Imam an-Nasa’i sentiasa menjauhkan diri daripada pemerintah, melainkan
ketika menyahut seruan jihad sahaja.

Selain itu, al-Imam an-Nasa’i juga istiqamah mengamalkan “Puasa Nabi Daud a.s.” iaitu dengan berpuasa selang sehari (sehari berpuasa, selari tidak berpuasa).

GURU DAN MURID 

Al-Imam an-Nasa’i meriwayatkan hadis daripada ramai 'ulama, antaranya Qutaibah, Ishaq bin Rahawaih, al-Harits bin Miskin, ‘Ali bin Khasyram, Abu Daud dan at-Tirmizi.

Lalu, hadis-hadis beliau diriwayatkan oleh ramai ‘ulama lain, antaranya Abu al-Qasim at-Thobarani, Abu Ja’far at-Thohawi, al-Hasan bin al-Khadir as-Suyuti, Muhammad bin Mu’awiyyah bin al-Ahmar al-Andalusi dan Abu Bakar bin Ahmad as-Sunni.

KHAZANAH ILMU

Al-Imam an-Nasa’i telah menulis beberapa buah kitab besar, antaranya as-Sunan al-Kubra, as-Sunan as-Sughra (Sunan an-Nasa’i), al-Khasa’ish, Fadha’il as-Sohabah dan al-Manasik.

Dalam sekalian banyak kitabnya, sudah tentu as-Sunan as-Sughra yang terkenal dengan nama Sunan an-Nasa’i mempunyai pengaruh yang paling besar sehingga diangkat sebagai salah satu al-Kutub as-Sittah iaitu enam buah kitab teras hadis dalam Islam.

Pada asalnya, al-Imam an-Nasa’i hanya menulis as-Sunan al-Kubra, lalu beliau menghadiahkannya kepada Amir ar-Ramlah. Lalu, apabila ditanya oleh al-Amir, “Adakah isi kitab ini semuanya sahih?” Al-Imam an-Nasa’i menjawab, “Ada yang sahih, ada yang hasan dan ada juga yang menghampiri dengan kedua-duanya.”

Mendengar jawapan al-Imam an-Nasa’i, al-Amir meminta supaya dikumpulkan hadis-hadis yang sahih sahaja. Maka, al-Imam an-Nasa’i pun berusaha memilih hadis-hadis sahih sahaja, lalu beliau himpunkan di dalam suatu kitab yang dinamakannya “as-Sunan as-Sughra,” sebelum ia masyhur dengan nama Sunan an-Nasa’i.

Ketelitian al-Imam an-Nasa’i dalam menyusun Sunan an-Nasa’i menyebabkan ramai ‘ulama berpendapat bahawa kedudukan kitab ini berada di bawah Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim, kerana sedikit sekali hadis dha’if yang terdapat di dalamnya.

MAZHAB FIQH

Selain menguasai ilmu hadis, al-Imam an-Nasa’i juga jaguh dalma ilmu fiqh, sehinggakan al-Imam ad-Daruquthni menyebut bahawa al-Imam an-Nasa’i adalah salah seorang ‘ulama yang paling pakar dalam bidang fiqh dan hadis di Mesir pada zamannya.

Adapun tentang Mazhab Fiqh, al-Imam Ibn al-Atsir al-Jazari menerangkan di dalam muqaddimah Jami’ al-Usul bahawa al-Imam an-Nasa’i mengikut Mazhab asy-Syafi’i. Buktinya adalah kerana beliau menulis kitab “Manasik” mengikut Mazhab Syafi’i.

KEWAFATAN

Setibanya al-Imam an-Nasa’i di Mesir, beliau berasa selesa tinggal di sana, lalu mengambil keputusan untuk menetap di situ, iaitu di Jalan Qanadil. Beliau menetap lama di sana sehinggalah satu tahun sebelum kewafatannya yang mana beliau mula berhijrah di Dimasyq, Syria.

Di Dimasyq, beliau diuji dengan suatu peristiwa yang tragis sehingga menyebabkan kesyahidannya. Diceritakan bahawa sebahagian penduduk Dimasyq meminta pendapat beliau tentang keutamaan Mu’awiyyah r.a.

Mereka seolah-olah meminta kepada al-Imam an-Nasa’i untuk menulis sebuah buku tentang keutamaan Mu’awiyyah r.a., sebagaimana beliau telah menulis tentang keutamaan Ali r.a.

Menjawab permintaan mereka, beliau berkata, “Tidakkah kalian berasa puas dengan adanya kesamaan darjat (antara Mu’awiyyah dengan Ali), sehingga kalian berasa perlu untuk mengutamakannya?”

Mendengar jawapan al-Imam an-Nasa’i, tiba-tiba mereka naik darah, lalu memukulnya sehingga bahagian sulitnya turut dipukul. Mereka memijak-mijaknya, kemudian menyeretnya keluar dari masjid, sehingga beliau hampir mati.

Menurut al-Imam ad-Daruquthni, selepas peristiwa tersebut, al-Imam an-Nasa’i meminta supaya dirinya dibawa ke Makkah. Permintaannya dikabulkan dan beliau wafat di Makkah pada tahun 303 H, dan dikebumikan di suatu tempat antara Safa dan Marwah.

Inilah juga pendapat yang dikemukakan oleh ‘Abdullah bin Mandah dari Hamzah al-‘Uqbi al-Misri dan ulama’ yang lain.

Walau bagaimanapun, al-Imam az-Zahabi tidak bersetuju dengan pendapat ini. Menurut belliau,
yang benar ialah al-Imam an-Nasa’i wafat di Ramalah, Palestin dan jasadnya disemadikan di Baitul Maqdis.

Ibn Yunus di dalam “Tarikh”nya bersetuju dengan pendapat ini; demikian juga Abu Ja’far at-Thohawi
dan Abu Bakar bin Naqatah.

Maka, telah syahidlah seorang ‘ulama hadis terbilang kerana ketaksuban sebahagian manusia yang jahil. Semoga Allah merahmati al-Imam an-Nasa’i dan memasukkannya dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang soleh.

Wallahu a'lam.