Return to site

BIOGRAFI AL-IMAM AL-BUKHARI

August 22, 2024

Nama sebenar al-Imam al-Bukhari adalah Muhammad bin ‘Ismail bin Ibrahim bin al-Ju’fiy al-Bukhari. Beliau dilahirkan pada tahun 194 Hijrah di Bukhara. Kerana itulah beliau dikenali sebagai al-Bukhari yang merujuk kepada tempat kelahiran beliau iaitu Bukhara yang merupakan sebuah bandar lama, luas dan cantik yang terletak di dalam Wilayan Khurasan.

 

Al-Imam al-Bukhari menjadi anak yatim setelah ayahnya, Ismail yang juga seorang ulama meninggal dunia ketika beliau masih kecil. Sejak dari itu, ibunya memainkan peranan dalam mendidik dan membesarkan al-Imam al-Bukhari.

Sejak kecil lagi, al-Imam al-Bukhari telah menunjukkan kecenderungan untuk menghafal hadis-hadis Nabi s.a.w. dan mempelajari cabang-cabang ilmu agama yang lain. Beliau sangat rajin dan bersungguh-sungguh menghadiri majlis-majlis ilmu sejak dari zaman kanak-kanaknya.

Ketokohan al-Imam al-Bukhari dalam bidang hadis juga mula menonjol apabila beliau menegur gurunya, al-‘Allamah ad-Dakhili yang merupakan seorang ulama hadis ketika gurunya itu sedang mengajar.

Dikatakan, ketika al-Imam al-Bukhari baru berusia 11 tahun, al-‘Allamah ad-Dakhili telah tersalah dalam meriwayatkan sanad sebuah hadis. Maka, al-Imam al-Bukhari pun membetulkan kesalahan gurunya itu.

Daripada kisah ini, dapatlah diketahui bahawa al-Imam al-Bukhari merupakan seorang yang cerdik dan rajin dalam menuntut ilmu. Ketekunannya diteruskan sehingga beliau dewasa dengan menempuhi rehlah-rehlah ilmiah semata-mata untuk menuntut ilmu dan mencari hadis-hadis Nabi s.a.w.

Guru-Guru al-Imam al-Bukhari

Antara guru-guru al-Imam al-Bukhari ialah:

  • ‘Ali bin al-Madini
  • Ahmad bin Hanbal
  • Yahya bin Ma'in
  • Ishaq bin Rahawaih
  • Qutaibah bin Sa’id

Murid-Murid al-Imam al-Bukhari

Antara murid-murid al-Imam al-Bukhari ialah:

  • al-Imam at-Tirmizi
  • al-Imam an-Nasa’i
  • al-Imam Muslim
  • al-Imam IbnKhuzaimah
  • Abu Zur’ah ar-Razi
  • Abu Hatim ar-Razi

Para Ulama Menguji Hafalan al-Imam al-Bukhari

Telah masyhur kisah ujian yang dilakukan oleh ulama hadis di Baghdad kepada al-Imam al-Bukhari sebagaimana yang tercatat di dalam karya-karya yang menceritakan tentang sirah kehidupan beliau, seperti kitab Sirah al-Imam al-Bukhari karya asy-Syaikh ‘Abdus Salam al-Mubarakfuri dan di dalam kitab al-Imam al-Bukhari al-Imam al-Huffaz wal-Muhaddithin oleh Dr. Taqiyuddin an-Nadwi.

Diceritakan bahawasanya para ulama hadis di Baghdad telah mendapat perkhabaran akan kehadiran al-Imam al-Bukhari di Baghdad. Maka, mereka pun merancang satu ujian untuk menguji tahap hafalan, keilmuan dan kecerdikan beliau.

Caranya adalah dengan mengumpulkan 100 buah hadis yang ditukar sanad dan matannya antara satu sama lain. Kemudian hadis-hadis tersebut diberikan kepada 10 orang yang berbeza bagi membacanya kepada al-Imam al-Bukhari. Setiap orang akan membaca sepuluh buah hadis di hadapan al-Imam al-Bukhari, dan bertanya tentang hadis-hadis tersebut kepada beliau.

Pada hari kejadian, datanglah 10 orang individu yang membacakan 100 buah hadis yang telah ditukar sanad dan matannya di hadapan al-Imam al-Bukhari. Setelah ditanyakan tentang hadis-hadis tersebut, al-Imam al-Bukhari menjawab, “Aku tidak tahu” bagi setiap satu hadis yang diajukan kepada beliau.

Jawapan al-Imam al-Bukhari membuatkan hadirin tertanya-tanya akan tahap keilmuwan dan hafalan al-Imam al-Bukhari.

Setelah selesai bacaan 100 buah hadis tersebut, barulah al-Imam al-Bukhari mula membetulkan satu persatu hadis yang diajukan kepada beliau sehingga ke hadis yang seratus dengan matan dan sanadnya yang tepat.

Maka, terpanalah seluruh hadirin dan mereka semua mengakui ketokohan al-Imam al-Bukhari dalam ilmu hadis.

Pujian Para Ulama Terhadap al-Imam al-Bukhari

Telah berkata al-Imam Ishaq bin Rahawaih r.h.m.:

“Wahai sekalian ashab al-hadis, lihatlah pada pemuda ini dan tulislah (hadis) daripadanya. Sesungguhnya jika dia hidup pada zaman Hasan bin Abi al-Hasan al-Basri, sudah tentu manusia berhajat pada ilmu hadis dan fiqhnya!”

Telah berkata Qutaibah bin Sa’id r.h.m.:

“Aku telah melazimi ahli fiqh, ahli zuhud dan ahli ibadah tetapi aku tidak pernah melihat orang seperti Muhammad bin Ismail (al-Bukhari).”

Telah berkata al-Imam Ahmad bin Hanbal r.h.m.:

“Khurasan tidak pernah mengeluarkan atau melahirkan insan sehebat Muhammad bin Ismail (al-Bukhari).”

Telah berkata al-Imam ad-Darimi r.h.m.:

“Aku telah melihat ulama di Haramain, Hijaz, Syam dan Iraq tetapi akutidak pernah melihat mereka semua melainkan Muhammad bin Ismail al-Bukhari lebih hebat daripada mereka.”

Telah berkata Abu Hatim al-Razi r.h.m.:

“Khurasan tidak pernah menghasilkan seseorang yang lebih kuat hafalannya berbanding Muhammad bin Ismail (al-Bukhari) dan tidak ada yang datang dari Khurasan menuju ke Iraq yang lebih alim daripadanya.”

Telah berkata al-Imam at-Tirmizi r.h.m.:

“Aku tidak melihat di Iraq dan Khurasan orang yang lebih alim tentang ‘ilal (kecacatan-kecacatan tersembunyi) hadis, sejarah dan sanad-sanad daripada Muhammad bin Ismail al-Bukhari.”

Al-Imam al-Bukhari Difitnah

Pada tahun 250 Hijriah, al-Imam al-Bukhari berkunjung ke Kota Naisabur, lalu menetap di sana dalam beberapa tempoh masa tertentu sambil mengajarkan hadis kepada masyarakat.

Berduyun-duyun manusia datang membanjiri majlis al-Imam al-Bukhari untuk mendengar hadis daripadanya. Sehinggalah pada suatu hari, seseorang bertanya kepada al-Imam al-Bukhari tentang lafaz al-Quran; adakah ia makhluk atau tidak?

Pada mulanya, al-Imam al-Bukhari mengelak daripada menjawab soalan tersebut. Tetapi, beliau terus diasak. Maka, al-Imam al-Bukhari pun menjawab, “Al-Quran adalah Kalam Allah; bukan makhluk, manakala perbuatan manusia adalah makhluk.”

Maka, dijajalah fitnah kononnya al-Imam al-Bukhari beriman bahawa lafaz-lafaz al-Quran adalah makhluk. Walhal, yang dimaksudkan oleh al-Imam al-Bukhari ialah perbuatan membaca al-Quran itu adalah makhluk; bukannya ayat-ayat al-Quran yang dilafazkan itu makhluk.

Rentetan itu, al-Imam al-Bukhari mula dipulau dan diusir keluar daripada Kota Naisabur.

Kewafatan al-Imam al-Bukhari

Tidak lama selepas tersebarnya fitnah terhadap al-Imam al-Bukhari, penduduk Samarkand mengirim surat kepada beliau, meminta supaya dirinya menetap di Samarkand. Dalam perjalanan menuju ke sana, al-Imam al-Bukhari singgah di sebuah desa bernama Khartand yang jaraknya sekitar dua farsakh (lebih kurang 9KM) sahaja daripada Samarkand, untuk menizarahi beberapa ahli keluarganya.

Tiba-tiba, beliau jatuh sakit beberapa hari dan akhirnya meninggal dunia pada tanggal 1 Syawal 256 Hijriah, pada malam Aidil Fitri ketika berusia 62 tahun. Jasad beliau disemadikan selepas Zohor pada Hari Raya Puasa.

Telah berkata Yahya bin Ja’far selepas kematian al-Imam al-Bukhari:

مَوْتُ محمد بِنْ إِسْمَاعِيْل ذِهَابُ العِلْمِ

Maksudnya:

“Kematian Muhammad bin Ismail bererti perginya (hilangnya) ilmu.”

 

Disunting dan diolah semula daripada: