Return to site

BIOGRAFI AL-IMAM ABU DAUD

September 16, 2024

Nama penuh Al-Imam Abu Daud ialah Sulaiman bin al-Asy’as bin Ishaq bin Basyir bin Syidad bin ‘Amr al-Azdi as-Sijistani.

Beliau dilahirkan pada tahun 202H/817M di Sijistan, lalu membesar sebagai seorang imam ahlul hadis yang terkemuka, sehingga ketokohannya dalam bidang hadis berada di kedudukan ketiga selepas al-Imam al-Bukhari dan al-Imam Muslim.

PERKEMBANGAN DAN PENGEMBARAANNYA

Sejak kecil, al-Imam Abu Daud sudah menunjukkan kecintaannya terhadap ilmu dan para ulama’. Hal ini dapat dilihat melalui pergaulannya dengan para ‘ulama untuk menimba ilmu agama daripada mereka.

Tidak cukup dengan itu, al-Imam Abu Daud turut mengembara ke pelbagai negeri sejak sebelum beliau menjejaki usia dewasa.

Dalam usaha untuk menuntut ilmu agama, terutamanya ilmu hadis, al-Imam Abu Daud telah menjejaki para ‘ulama di bumi Hijaz, Syam, Mesir, Iraq, Jazirah, Sagar, Khurasan dan banyak lagi.

Kembara ilmunya ke negeri yang pelbagai ini membantunya untuk memperolehi pengetahuan luas tentang hadis.

Kemudian, hadis-hadis yang diperolehinya itu disaring dan dimasukkan ke dalam kitab Sunan Abi Daud.

GURU-GURUNYA

Terdapat ramai ulama’ yang menjadi guru bagi al-Imam Abu Daud. Tetapi, dalam kalangan mereka, guru-gurunya yang paling utama ialah al-Imam Ahmad bin Hanbal, al-Qa’nabi, Abu ‘Amr ad-Darir, Muslim bin Ibrahim, Abdullah bin Raja’ dan Abu al-Walid at-Thoyalisi.

Ada juga sebahagian gurunya yang turut menjadi guru kepada al-Imam al-Bukhari dan al-Imam Muslim, seperti al-Imam Ahmad bin Hanbal, al-Imam Usman bin Abu Syaibah dan Qutaibah bin Sa’id.

MURID-MURID YANG MEWARISI HADISNYA

Antara ‘ulama yang mewarisi hadis-hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud dan mengambil ilmu daripadanya ialah al-Imam Abu ‘Isa at-Tirmizi, al-Imam Abu Abdur Rahman an-Nasa’i, anaknya, Abu Bakar bin Abu Daud, Abu Awanah, Abu Sa’id al-A’rabi, Abu Ali al-Lu’lu’i, Abu Bakar bin Dassah, dan Abu Salim Muhammad bin Sa’id al-Jaldawi.

Selain itu, gurunya sendiri iaitu al-Imam Ahmad bin Hanbal turut meriwayatkan sebuah hadis daripada al-Imam Abu Daud.

Hadis tersebut ialah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud, dengan sanadnya:

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَمْرٍو الرَّازِيُّ حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ قَيْسٍ عَنْ حَمَّادِ بْنِ سَلَمَةَ عَنْ أَبِي الْعَشْرَاءِ الدَّارِمِيِّ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُئِلَ عَنِ الْعَتِيرَةِ فَحَسَّنَهَا

Maksudnya:

Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin ‘Amru ar-Razi, telah menceritakan kepada kami ‘Abdur Rahman bin Qays, daripada Hammad bin Salamah, daripada Abu al-‘Asyra’ ad-Darimiy, daripada ayahnya bahawasanya Rasulullah s.a.w. telah ditanya tentang ‘atirah, lalu baginda menilainya sebagai baik.

AKHLAK DAN SIFAT TERPUJI

Al-Imam Abu Daud adalah salah seorang ‘ulama yang mengamalkan ilmunya sehingga terpancar pada keelokan akhlaqnya.

Sifat peribadi al-Imam Abu Daud ini telah diungkapkan oleh sebahagian ulama’ yang menyebut:

كان أبوداود يشبه بأحمد بن حنبل في هديه ودله وسمته وكان أحمد يشبه في ذلك بوكيع وكان وكيع يشبه في ذلك بسفيان وسفيان بمنصور ومنصور بإبراهيم وإبراهيم بعلقمة وعلقمة بعبد الله بن مسعود وقال علقمة: كان ابن مسعود يشبه بالنبي صلى الله عليه وآله وسلم: في هديه ودله.

Maksudnya:

“Abu Daud menyerupai Ahmadbin Hanbal dalam ketenangannya, kerendahan diri dan peribadinya. Ahmad dalam sifat-sifat ini menyerupai Waki’, Waki menyerupai Sufyan (ats-Tsauri), Sufyan menyerupai Mansur, Mansur menyerupai Ibrahim (an-Nakha’i), Ibrahim menyerupai ‘Alqamah, dan ‘Alqamah menyerupai Ibn Mas’ud. Dan 'Alqamah berkata, 'Ibn Mas’ud menyerupai Nabi s.a.w dalam ketenangan dan kerendahan diri.'

Al-Imam Abu Daud juga mempunyai pandangan dan cara berpakaian yang tersendiri di mana salah satu lengan bajunya lebar namun yang satunya lebih kecil dan sempit. Apabila ditanya tentang keganjilan caranya berpakaian, beliau menjawab:

الواسع للكتب والآخر لا يحتاج إليه

Maksudnya:

“Lengan baju yang lebar ini digunakan untuk membawa kitab-kitab, manakala yang satu lagi tidak diperlukan (untuk membawa kitab-kitab).”

Maka, beliau menyempitkan lengan kiri bajunyauntuk mengelak daripada perbuatan berlebih-lebihan.

PUJIAN PARA ‘ULAMA

Al-Imam Abu Daud adalah salah seorang panji-panji Islam yang bukan sahaja pakar dalam ilmu hadis, malah beliau juga menguasai cabang-cabang ilmu lain termasuklah fiqh dan usulnya. Kerana itulah beliau mendapat pujian dari ramai ‘ulama.

Antaranya, al-Hafiz Musa bin Harun pernah berkata tentang al-Imam Abu Daud:

خلق أبوداود في الدنيا للحديث وفي الآخرة للجنة ما رأيت أفضل منه

Maksudnya:

“Telah diciptakan Abu Daud didunia untuk hadis, dan di akhirat untuk syurga. Aku tidak melihat orang yang lebih baik daripadanya.”

Muhammad bin Ishaq as-Soghoni pula berkata:

لين لأبيداود الحديث كما لين لداود الحديد

Maksudnya:

“Hadis telah dimudahkan untukAbu Daud, sebagaimana besi telah dilembutkan untuk Nabi Daud.”

Perkataan yang sama turut diungkapkan oleh Ibrahim al-Harbi kepada al-Imam Abu Daud ketika melihat beliau sedang mengarang dan menyusun kitab Sunan Abi Daud.

Setelah selesai mengarang kitab Sunan Abi Daud, beliau membawanya kepada al-Imam Ahmad bin Hanbal, dan al-Imam Ahmad bin Hanbal pun memuji keelokan kitab hadisnya itu yang disusun mengikut perbahasan ilmu fiqh.

MAZHAB FIQH ABU DAUD

Di dalam Thobaqat al-Fuqaha’, asy-Syaikh Abu Ishaq asy-Syairazi memasukkan al-Imam Abu Daud dalam kalangan murid-murid Imam Ahmad bin Hanbal, merangkap pengikut Mazhab Hanbali.

Demikian juga pendapat yang dipilih oleh Qadhi Abu al-Husain Muhammad bin al-Qadhi Abu Ya’la di dalam Thobaqat al-Hanabilah. Mereka berpendapat sedemikian kerana al-Imam Ahmad adalah gurunya yang paling utama.

Tetapi, ada juga ‘ulama yang berpendapat bahawa al-Imam Abu Daud bermazhab Syafi’i.

Menurut pendapat yang ketiga, al-Imam Abu Daud adalah seorang mujtahid yang tidak terikat dengan mana-mana mazhab sebagaimana dapat dilihat pada gaya susunan dan metod penulisan Sunan Abi Daud.

Pendapat ini juga kuat para ‘ulama hadis pada zaman awal sememangnya terkenal dengan kemampuan mampu berijtihad.

KEDUDUKANNYA DI SISI PARA PEMERINTAH

Al-Imam Abu Daud mempunyai kedudukan istimewa di sisi para pemerintah, tanpa perlu mencari ruang dan peluang untuk mendampingi dan mendapatkan pengaruh daripada mereka. Sebaliknya, para pemerintah itulah yang mendatangi al-Imam Abu Daud untuk mendapatkan nasihat dan kepakarannya.

Hal ini dapat dilihat daripada sebuah kisah yang diceritakan oleh Abu Bakr bin Jabir, pembantu al-Imam Abu Daud; katanya:

كنت معه ببغداد فصلينا المغرب إذ قرع الباب ففتحته فإذا خادم يقول هذا الأمير أبو أحمد الموفق يستأذن فدخلت إلى أبي داود فأخبرته بمكانه فأذن له فدخل وقعد ثم أقبل عليه أبو داود وقال ما جاء بالأمير في مثل هذا الوقت فقال خلال ثلاث فقال وما هي قال تنتقل إلى البصرة فتتخذها وطنا ليرحل إليك طلبة العلم من أقطار الأرض فتعمر بك فإنها قد خربت وانقطع عنها الناس لما جرى عليها من محنة الزنج فقال هذه واحدة هات الثانية قال ويروى لأولادي كتاب السنن فقال نعم هات الثالثة قال وتفرد لهم مجلسا للرواية فإن أولاد الخلفاء لا يقعدون مع العامة فقال أما هذه فلا سبيل إليها لأن الناس شريفهم ووضيعهم في العلم سواء قال ابن جابر فكانوا يحضرون بعد ذلك ويقعدون في كم حيري ويضرب بينهم وبين الناس ستر ويسمعون مع العامة

Maksudnya: “Aku pernah tinggal bersama-sama dengan beliau (Abu Daud) di Baghdad. Pada suatu hari, setelah kami selesai menunaikan Solat Maghrib, tiba-tiba, ada ketukan di pintu. Aku pun membukanya dan melihat ada seorang pelayan yang berkata, ‘Ini adalah al-Amir Abu Ahmad Al-Muwafiq yang meminta izin (untuk bertemu dengan al-Imam Abu Daud).’

Aku masuk kembali kepada Abu Daud dan memberitahunya tentang kehadiran tetamu itu. Lalu, beliau memberikan keizinan dan al-Amir pun masuk dan duduk. Tak lama kemudian, Abu Daud menemuinya seraya berkata, ‘Gerangan apakah yang membawa al-Amir datang ke sini pada saat seperti ini?’

‘Tiga kepentingan,’ jawab al-Amir. ‘Kepentingan apakah itu?’ soalnya.

Al-Amir menjelaskan, ‘Hendaknya tuan hamba berpindah ke Basrah dan menetap di sana, supaya para penuntut ilmu dari berbagai penjuru dunia datang belajar kepada tuan. Dengan demikian, Basrah akan makmur kembali, setelah ia dihancurkan dan ditinggalkan orang ramai akibat tragedi Zenji.’

Abu Daud berkata, ‘Itu yang pertama. Sebutkan yang kedua.’

‘Hendaknya tuan hamba berkenan mengajarkan kitab Sunan (Abi Daud) kepada putera-putera beta,’ kata al-Amir.

‘Ya, ketiga?’ soal Abu Daud kembali.

Al-Amir menerangkan, ‘Hendaknya tuan hamba mengadakan majlis tersendiri untuk mengajarkan hadis kepada putera-putera khalifah, sebab mereka tidak mahu duduk bersama-sama dengan orang umum.’

Abu Daud lantas menjawab, ‘Permintaan ketiga tidak dapat patik penuhi, kerana manusia itu baik orang terhormat mahupun rakyat melarat, adalah setara di sisi ilmu.’”

Ibn Jabir menjelaskan, “Maka sejak itu putera-putera khalifah hadir dan duduk bersama di dalam majlis taklim, kecuali di antara mereka dengan orang umum di pasang tirai; dengan demikian mereka dapat belajar bersama-sama.”

Apa yang dilakukan oleh Abu Daud ini bukan sahaja menyelamatkan dirinya daripada dipergunakan oleh para pemerintah, tetapi ia turut menjaga ketinggian ilmu dan menyedarkan mereka yang berada di tampuk pemerintahan betapa ilmu mempunyai kedudukan yang lebih mulia daripada mereka.

Maka, jika pemerintah berhajat kepada ilmu,mereka juga perlu bersusah payah dengan cara yang sama ditempuh oleh rakyat biasa.

KEWAFATANNYA

Setelah mengisi kehidupannya dengan kegiatan ilmiah daripada menghimpunkan hadis-hadis sehinggalah kepada menyebarluaskannya kepada umat, al-Imam Abu Daud akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir pada malam Juma’at, tanggal 16 Syawal 275H/889M di Basrah yang dijadikannya sebagai tempat tinggal atas permintaan al-Amir sebagaimana yang diceritakan di atas.

Semoga Allah senantiasa melimpahkan rahmat dan redha-Nya kepada al-Imam Abu Daud.